Motto: JAGA KESIHATAN, IBADAT SEMPURNA

Perubatan Thibbun Nabawi: Perubatan Cara Nabi menjadi satu bentuk teknik dan kaedah perubatan alternatif berpandukan agama yang telah mula banyak diminati dan meningkat naik. Kerana dengan sedikitnya kos pembiayaan yang digunakan, perubatan ini telah berjaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit kronik yang biasanya hanya dapat disembuhkan dengan kos pembiayaan yang sangat tinggi. Methode-methode perubatan dengan bekam, madu, habbatus sauda, minyak zaitun, kam'ah, itsmid, talbinah, qusthul bahri, dan selainnya sebagai sebahagian dari bahan-bahan atau bentuk-bentuk perubatan nabawi telah menunjukkan bahawa ia merupakan terapi yang mujarab yang berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, selain penyakit tua (dan mati) dengan izin Allah.

Motto: "JAGA KESIHATAN, IBADAT SEMPURNA "

Kesihatan adalah amat penting untuk umat islam, supaya kita senang sentiasa dapat beribadat dan beramal kepada ALLAH SWT dengan sempurna. Semoga ALLAH SWT memberkati ibadah dan amal yang kita lakukan.

Monday, March 24, 2014

KENCING MANIS & KAKI BERNANAH


Masalah kaki bernanah atau berulat adalah amat biasa terjadi di kalangan pesakit kencing manis di negara kita. Keadaan ini bertambah kronik lagi dengan kecenderungan masyarakat kita yang lebih suka mencuba rawatan tradisional dan herbal. Ramai yang menjadikan rawatan hospital sebagai ‘last resort’ atau pilihan terakhir mereka.
Anggapan mereka, sekiranya ke hospital, kaki mereka pasti dipotong. Apa yang mereka tidak sedar adalah kelewatan mereka ke hospital itulah yang mengakibatkan doktor tiada pilihan lain. Pada kami, nyawa adalah lebih penting daripada kaki. ‘Life Before Limb’, itulah prinsip kami.
Kebanyakan pesakit pergi ke hospital apabila kaki mereka telah membusuk ke tahap tidak dapat diselamatkan lagi. Malah, ada yang datang dengan ‘Sepsis’ dimana, kuman telah pun merebak ke dalam sistem peredaran darah dan boleh merosakkan organ dalaman pesakit. Sekiranya tempat asal kuman ini tidak dibuang, maka pesakit mungkin tidak dapat diselamatkan walaupun antibiotik diberi.
Pesakit kencing manis mudah mendapat masalah jangkitan ini akibat tiga keadaan pesakit kencing manis iaitu:
  1. Neuropathy – Ia adalah keadaan dimana terdapat kerosakan pada sistem saraf pesakit. Ia boleh dibahagikan lagi kepada tiga iaitu ‘sensory’, ‘motor’ dan ‘autonomic’
  2. Vasculopathy - Vasculopathy pula merujuk kepada keadaan tidak normal pada system salur darah pesakit kencing manis. Sistem peredaran darah pesakit ini biasanya kurang baik akibat tersumbat yang menyebabkan kekurangan bekalan oksigen serta nutrien.
  3. Immunopathy - Immunopathy adalah keadaan di mana pesakit kencing manis ini lebih mudah terdedah kepada jangkitan  kuman akibat kelemahan sistem pertahanan badan merek

Kaki pesakit kencing manis ini biasanya kebas. Mereka tidak akan terasa walaupun mereka terpijak paku atau berjalan di atas permukaan yang panas. Saya pernah mendapat pesakit yang melecur kakinya akibat daripada bertungku. Mengalami luka pada kaki adalah perkara pertama yang akan membawa kepada lebih banyak masalah.
Sekiranya anda mempunyai saudara yang mempunyai penyakit kencing manis, nasihatkan mereka untuk segera berjumpa doktor sekiranya kaki mereka terluka. Tisu yang busuk atau dijangkiti kuman perlu dicuci dan tisu yang mati perlu dibuang. Kelewatan rawatan boleh menyebabkan kehilangan kaki, atau lebih teruk lagi, kehilangan nyawa mereka!
Langkah-langkah awal boleh diambil bagi mengelakkan masalah luka ini daripada berlaku. Antara nasihat yang boleh diberikan ialah:
  1. Sentiasa memastikan kaki tidak terlalu kering. Kaki yang kering boleh merekah dan luka. Pesakit boleh menggunakan minyak bayi atau minyak zaitun bagi melembabkan kulit.
  2. Kaki perlu dilap apabila keluar daripada bilik air atau tandas. Kaki yang basah, terutamanya di celah-celah jari, memudahkan jangkitan kulat (fungus)
  3. Pesakit perlu memeriksa stoking dan kasut sebelum memakai mereka bagi memastikan tiada batu, kayu atau benda-benda tajam di dalamnya.
  4. Sentiasa memakai kasut yang sesuai sekiranya berjalan. Elakkan selipar atau sandal yang mendedahkan jari kerana ia lebih mudah terluka.
  5. Sentiasa memeriksa kaki sebelum tidur, dengan menggunakan cermin bagi melihat kawasan-kawasan yang sukar dilihat. Pemeriksaan kaki sendiri ini seeloknya dibuat dua kali sehari.
Pesakit kencing manis yang mempunyai luka atau ulser di kaki mempunyai 15 peratus risiko untuk menghadapi amputasi atau dipotong kaki mereka akibat kaki yang membusuk, bernanah dan mati (gangrene).
 Marilah kita sama-sama menasihati kenalan kita mengenai kepentingan menjaga kaki dan mengawal paras gula dalam darah.  Lebih baik lagi ialah mengelakkan diri dan kenalan kita daripada menghidap kencing manis.

Sumber: Dr. Ahmad Mahyuddin 
Seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.